ad
AGENDA

Menteri: Tidak perlu guna MyDigital ID untuk daftar MyJPJ 10 Oktober ini

2 Okt 2024, 11:47 AM
Menteri: Tidak perlu guna MyDigital ID untuk daftar MyJPJ 10 Oktober ini

PUTRAJAYA, 2 OKT: Orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa.

“Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.

MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna ketika melakukan transaksi secara dalam talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul ('pop-up announcement') dalam aplikasi itu.

Loke berkata arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta.

“Maklumat yang disalurkan melalui 'pop-up' MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.

“Saya lihat bahawa dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut),” katanya sambil menambah MyJPJ ketika ini mempunyai 10.5 juta pengguna.

Beliau berkata kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.

“Kita telahpun mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai 'log in' kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah.

“Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara 'back-end',” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.