ad
AGENDA

Pasangan kekasih edar ganja bernilai hampir RM40,000 ditahan

2 Okt 2024, 10:41 AM
Pasangan kekasih edar ganja bernilai hampir RM40,000 ditahan

SHAH ALAM, 2 OKT: Pasangan kekasih warga tempatan ditahan dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah jenis ganja bernilai RM38,068 dalam serbuan berasingan di Petaling Jaya pada 26 September lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata seorang daripada suspek iaitu lelaki berusia 24 tahun ditahan di sebuah tempat letak kenderaan di Petaling Jaya pada 3.50 petang dan merampas 20 bungkusan disyaki ganja dengan anggaran berat 2.12 kilogram (kg).

“Susulan tangkapan itu, polis menahan seorang perempuan tempatan berusia 19 tahun di sebuah kondominium yang disewa mereka pada 5 petang pada hari dan kawasan sama.

“Tangkapan itu membawa kepada rampasan dua bagasi mengandungi dadah dipercayai ganja seberat 5.06 kg dan 3.18 kg di kondominium berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Mohd Iqbal berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bergiat aktif sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang dan mendapat bekalan dadah dari negara jiran.

Modus operandi pasangan itu dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan secara bersemuka setelah mendapat pesanan menerusi aplikasi Telegram.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah sebuah kereta bernilai RM200,000 turut disita.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.