ad
PBT

MBSA naik taraf kemudahan, bantu TMS 2025 capai lapan juta pelancong

2 Okt 2024, 9:30 AM
MBSA naik taraf kemudahan, bantu TMS 2025 capai lapan juta pelancong

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menambah baik kemudahan infrastruktur pelancongan dalam kawasannya sepanjang tahun ini sebagai persediaan Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.

Antara penambahbaikan ialah penyediaan Taman Pocket di pusat bandar, projek mengindahkan bulatan sekitar Shah Alam serta menaik taraf taman rekreasi Taman Catopia, Laman Syifa’ dan Taman Anggerik, kata pemangku timbalan datuk bandar.

“Inisiatif dilaksana menerusi projek pengindahan semula landskap. Dalam masa sama MBSA juga menambah baik produk pelancongan Taman Persahabatan Selangor-Jepun, lukisan mural di Laman Seni 7, Zipline Shah Alam serta Laman Budaya Musical Foution.

“Ini langkah menggalakkan dan menarik kehadiran pengunjung ke Shah Alam sekali gus membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran lapan juta pelancong tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perbincangan kumpulan sasar, kajian penilaian dan pemprofilan destinasi pelancongan Shah Alam disertai kira-kira 100 peserta dari pelbagai agensi di sini hari ini.

Sempena TMS 2025, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai kerja termasuk pengiklanan, digital dan media sosial, penganjuran acara pelancongan, jerayawara dan pameran bagi tujuan promosi.

TMS2025 yang menawarkan lebih 60 program sepanjang tahun depan dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.