SUBANG JAYA, 2 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membangunkan pelan merangkumi maklumat dan peta kawasan banjir serta tanah runtuh bagi memudahkan misi bantuan jika berlaku bencana.
Menurut timbalan datuk bandar Subang Jaya, sebanyak 25 lokasi berisiko banjir dan sembilan kawasan tanah runtuh dikesan seperti Seri Serdang, Seri Kembangan, Kinrara, Batu Tiga dan Kota Kemuning.
Dipetakan dalam Sistem Informasi Geografik, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata pelan itu turut dilengkapi maklumat lokasi pusat pemindahan sementara dan penempatan sementara kenderaan penduduk.
"Pelan ini turut menyediakan direktori agensi berkaitan, kawasan keluar masuk kenderaan, tempat berkumpul agensi keselamatan dan pasukan penyelamat serta lokasi aset penyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pelan Strategik Operasi Bantuan Kecemasan dan Bencana MBSJ 2.0 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah, hari ini.
Mohd Zulkurnain menambah pelan yang dibangunkan sejak 5 Oktober 2022 dikemas kini dari semasa ke semasa sebagai panduan MBSJ dan agensi berkaitan terutama ketika berdepan Monsun Timur Laut.
“Bengkel hari ini untuk kita semak semula dan bincang pelan ini sekiranya perlu dikemas kini atau ditambah baik, sekali gus memastikan Subang Jaya berdaya tahan bencana,” katanya.