ad
AGENDA

Operasi cari jasad pesara Felcra dalam radius 13km Sungai Padang Terap

2 Okt 2024, 4:29 AM
Operasi cari jasad pesara Felcra dalam radius 13km Sungai Padang Terap

JITRA, 2 OKT: Operasi pencarian pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, yang disyaki dicampak dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat ke Sungai Padang Terap dekat sini, diteruskan pagi ini.

Berdasarkan pemerhatian Bernama di lokasi, radius pencarian hari ketiga meliputi 13 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Lubuk Batu ke Jambatan Kepala Batas dekat sini.

Operasi melibatkan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam, bermula 10 pagi tadi.

Isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, bersama ahli keluarga dan kenalan turut berada di lokasi pencarian di Jambatan Lubuk Batu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh sebelum ini mengesahkan penahanan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya kemudian ditemukan hangus di Belantik, Sik.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.