ad
BERITA UTAMA

Bumi ada dua bulan, singgah sebentar hingga November

2 Okt 2024, 3:00 AM
Bumi ada dua bulan, singgah sebentar hingga November
Bumi ada dua bulan, singgah sebentar hingga November

Ketika 7 Ogos yang lalu, saintis mengesan sebuah asteroid yang sedang menghala ke Bumi menggunakan teleskop Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) yang terletak di Afrika Selatan.

Asteroid ini dinamakan sebagai 2024 PT5. Namun, 2024 PT5 tidak akan menghentam Bumi. Ia cuma singgah berhampiran dengan Bumi.

Menariknya, persinggahan tersebut membuatkan 2024 PT5 ditarik oleh graviti Bumi, lalu menyebabkannya mengorbit Bumi. Kejadian ini dijangka terjadi pada 29 September 2024 dan ia akan mengorbit Bumi selama sekitar dua bulan sehingga 25 November 2024.

Fenomena ini menjadikan Bumi mempunyai bulan kedua atau bulan-mini untuk seketika. Selepas dua bulan, asteroid ini akan tertanggal daripada orbit Bumi dan berlalu pergi. 2024 PT5 tidak dapat kekal mengorbit Bumi kerana faktor kelajuan dan trajektorinya.

Tambahan lagi, asteroid ini juga susah untuk dilihat apabila ia mula mengorbit Bumi kerana saiznya terlalu kecil iaitu sekitar 10 meter.

Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, mahupun teleskop biasa. Cuma dapat dilihat menggunakan teleskop berteknologi tinggi. Setakat artikel ini ditulis, 2024 PT5 kini berada di sekitar 3 juta kilometer dari Bumi.

Kejadian bulan-mini amat nadir, tetapi bukanlah kali pertama. Bumi pernah mempunyai bulan-mini sebelum ini. Pada 2006, sebuah asteroid bersaiz sekitar 5 meter pernah mengorbit Bumi selama lebih setahun (13 bulan).

Pada 2015, sebuah jasad samawi kecil dinamakan WT1190F mengorbit Bumi setiap 23 hari sejak 2009. Kemudian, ia masuk ke atmosfera Bumi lalu terbakar.

Pada 2020, objek angkasa bersaiz sekitar satu meter yang dinamakan 2020 CD3 telah mengorbit Bumi sejak Mei 2018. Saintis menjangkakan 2020 CD3 akan menghampiri Bumi pada 2044 dan 2061.

Orbit bumi

Namun, graviti Bumi mungkin tidak dapat menangkap 2020 CD3 pada masa akan datang kerana jaraknya terlalu jauh. Secara purata, jasad samawi yang mengorbit Bumi lalu menjadi bulan-mini tidak akan kekal mengorbit Bumi.

Sama ada ia tertanggal daripada orbit Bumi ataupun ia masuk ke atmosfera Bumi kerana orbitnya tidak stabil.

Mengikut kajian Frontiers in Astronomy and Space Sciences yang diterbitkan pada 2018, kebanyakan bulan-mini berasal daripada jaluran asteroid yang terletak di antara Marikh dan Musytari.

Asteroid-asteroid yang berada jaluran ini berkumpul dan membentuk jaluran mengelilingi Matahari. Terdapat sekitar 1.9 juta asteroid di jaluran tersebut.

Daripada 50,000 meteorit (meteor yang berjaya sampai ke permukaan Bumi), 99.8 peratus daripadanya dipercayai berasal daripada jaluran asteroid.

Selain daripada jaluran asteroid, terdapat objek-objek samawi yang berhampiran dengan Bumi tetapi ia bergerak mengelilingi Matahari seperti kumpulan asteroid Arjuna, Apollo, Amor, Aten dan Atira.

Asteroid daripada kumpulan Apollo pernah menghentam Bumi pada 2013 dan menyebabkan kecederaan pada 1,500 orang di Rusia. Saintis mengenal pasti asteroid 2024 PT5 berasal daripada kumpulan asteroid Arjuna.

Justeru, jasad-jasad samawi dari jaluran asteroid dan Kumpulan asteroid kadangkala ditangkap oleh graviti Bumi lalu mengorbit Bumi untuk seketika.

Kemudian, ia tertanggal daripada graviti Bumi dan melencong ke tempat lain. Ada yang mengorbit Bumi lalu menghentam Bumi.

Ada yang terus menghentam Bumi secara langsung yang menyebabkan kita menemui banyak meteorit dan menyaksikan banyak meteor di langit.

Selain daripada bulan-mini, terdapat objek-objek samawi lain yang mengorbit Bumi iaitu awan Kordylewski atau dikenali sebagai bulan hantu. Awan Kordylewski terdiri daripada habuk-habuk angkasa yang berkongsi orbit dengan Bulan.

Awan Kordylewski ditemui pada 1960-an dan disahkan penemuannya pada 2018 oleh Royal Astronomy Society. Ia dinamakan bulan hantu kerana ia sangat sukar untuk dilihat dan kelihatan halimunan.

Daripada kejadian ini, dapatlah kita tahu bahawa banyak sebenarnya objek-objek angkasa yang berhampiran dengan Bumi, malah pernah mengorbit Bumi dan menghentam Bumi. Bumi tidak keseorangan dengan seketul Bulan.

* Penyelidik di Universiti Teknologi Mara, Dr Zamir Mohyedin seorang ahli fizik yang menulis lapan buku

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.