SHAH ALAM, 29 SEPT: Pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dipelawa memohon beberapa bantuan pendidikan bawah Kerajaan Negeri.
Antaranya permohonan Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Selangor merangkumi tajaan yuran, elaun buku, perkakas, sara hidup dan kos kajian yang dibuka hingga 20 Oktober.
Selain itu, pentadbiran negeri turut membuka pinjaman bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor iaitu Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (PBUDN) dan Biasiswa Sagong Tasi hingga 15 Oktober.
Bantuan PBUDN sesi kedua khas kepada anak Selangor terbuka kepada pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di IPT yang diiktiraf kerajaan secara sepenuh masa sekitar Selangor serta Kuala Lumpur
Antara syarat permohonan:
- pemohon dan ibu bapa warganegara, menetap di Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun
- pendapatan bulan isi rumah tidak melebihi RM20,000
- pemohon bukan pelajar tahun akhir dan belum menerima biasiswa, pinjaman atau dermasiswa
Sementara itu Biasiswa Sagong Tasi khusus untuk pendidikan Orang Asli, boleh dipohon untuk mereka yang melanjutkan pengajian di mana-mana IPT awam selain Universiti Selangor, Universiti Islam Selangor dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor.
Kesemua pinjaman berkenaan boleh dimohon menerusi pautan edanapendidikan.selangor.gov.my dan maklumat lanjut boleh didapati di portal PembiayaanPendidikan Negeri Selangor.