ad
AGENDA

Menteri: RMK-13 pelan ekonomi penting menuju status negara maju

1 Okt 2024, 12:34 PM
Menteri: RMK-13 pelan ekonomi penting menuju status negara maju
Menteri: RMK-13 pelan ekonomi penting menuju status negara maju
Menteri: RMK-13 pelan ekonomi penting menuju status negara maju

SHAH ALAM, 1 OKT: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disifatkan pelan ekonomi penting ke arah permulaan negara mencapai status negara maju.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata RMK-13 tidak akan dirangka sama seperti rancangan pembangunan terdahulu, dengan mengambil kira perubahan ekonomi negara yang semakin baik.

“Kita berada di persimpangan yang baik. Dengan pentadbiran baharu, azam dan ditambah minat pelabur dari seluruh dunia, peluang ini harus digunakan dengan baik.

“Kita sudah hampir jadi negara kelas pertama. Jadi kita tidak boleh lagi lihat rancangan lima tahun ini dalam lensa sama seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus RMK-13 Bersama Kerajaan Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

[caption id="attachment_665900" align="alignleft" width="500"] Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap pada sesi dialog ketika Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama Kerajaan Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 1 Oktober 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Majlis itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, wakil rakyat, agensi Kerajaan Negeri, pemimpin masyarakat dan pemegang taruh.

Dalam pada itu, Rafizi memuji pencapaian ekonomi Selangor yang semakin memberangsangkan selain menyifatkan negeri ini sebagai nukleas kepada kekuatan ekonomi negara.

Beliau turut mencabar Selangor dan negeri lain untuk memulakan rancangan ekonomi dengan impian besar sekali gus menyokong usaha kerajaan menjayakan RMK-13.

“Di peringkat negeri, saya mahu lontarkan cabaran, mulakan dengan impian yang besar. Kalau sebelum ini kita hanya berpuas hati dengan pencapaian dalam sektor semikonduktor, tetapi selepas ini kita buat lebih lagi,” katanya.

Selangor negeri pertama dalam siri jelajah Sesi Libat Urus RMK-13 bermula Oktober ini, yang bertujuan mengumpulkan idea kreatif daripada semua golongan masyarakat.

RMK-13 dijangka siap dalam tempoh enam ke tujuh bulan, sebelum dibentangkan di Parlimen pada Julai 2025.

[caption id="attachment_665901" align="aligncenter" width="1170"] Peserta sesi dialog ketika Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bersama Kerajaan Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 1 Oktober 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.