ad
AGENDA

Berdepan trauma, KKM nilai tahap kesihatan mental anak pengikut GISBH

1 Okt 2024, 6:35 AM
Berdepan trauma, KKM nilai tahap kesihatan mental anak pengikut GISBH

PUTRAJAYA, 1 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat penilaian tahap kesihatan mental kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kanak-kanak yang terjejas dikhuatiri berdepan dengan isu kesihatan mental akibat trauma dihadapi.

"Banyak perkara masih dalam siasatan. Kami (KKM) akan terlibat dari sudut untuk memberi kaunseling dan saya percaya bahagian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) terlibat di peringkat klinik," katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Warga Emas peringkat KKM 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak yang terjejas telah diberikan kaunseling, namun statistik terkini masih belum diperoleh.

Dzulkefly berkata secara umumnya, NCEMH bekerjasama dalam menyediakan sokongan kaunseling kepada kanak-kanak manakala KKM terlibat dalam hal-hal berkaitan aspek kesihatan dan perubatan.

Beliau berkata sokongan perkhidmatan secara khusus akan diberikan kepada kanak-kanak yang terjejas berlandaskan kepakaran KKM.

Pada 11 Sept lepas, polis menyerbu 20 rumah amal dikendalikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, dan menyelamatkan 402 kanak-kanak susulan dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.