ad
AGENSI

Anuar Hamzah dilantik ketua pegawai eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor

1 Okt 2024, 3:51 AM
Anuar Hamzah dilantik ketua pegawai eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor
Anuar Hamzah dilantik ketua pegawai eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor

SHAH ALAM, 1 OKT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengumumkan pelantikan Anuar Hamzah Tohar sebagai ketua pegawai eksekutif agensi itu, berkuat kuasa hari ini.

Anuar Hamzah sebelum ini memegang jawatan timbalan ketua pegawai eksekutif agensi terbabit.

“Pelantikan Anuar Hamzah sebagai ketua pegawai eksekutif PWS telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj baru-baru ini.

“Malah, dengan keupayaan serta kepakaran Anuar Hamzah hampir 27 tahun berkhidmat dalam Institusi Hal Ehwal Islam di Selangor menjadi sandaran utama dalam memacu kejayaan PWS ke arah yang lebih baik,” kata agensi itu menerusi kenyataan.

Menurut PWS, Anuar Hamzah antara pegawai terawal ketika agensi itu ditubuhkan pada 2011 dan dilantik sebagai pengurus Bahagian Pemasaran dan Dakwah sehingga 2014 seterusnya menjadi timbalan ketua pegawai eksekutif (2014-2024).

Beliau memulakan kerjaya sebagai penolong pengarah Unit Ukhwah Jabatan Agama Islam Selangor pada tahun 1997, kemudian penolong setiausaha Bahagian Pembangunan Insan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) (2004-2010).

Pengalaman lain ialah sebagai pendaftar mualaf Selangor (2006) dan penolong setiausaha Bahagian Pemulihan Ar Riqab Mais dan penolong setiausaha Bahagian MAL Mais (2010).

“Hubungan baik beliau bersama agensi kerajaan serta swasta di Selangor memberi nilai tambah bagi menjalinkan hubungan sinergi dua hala dalam memastikan institusi wakaf di Selangor diperkasakan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.