SHAH ALAM, 1 OKT : Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan wakaf RM33,447.51 kepada Masjid Jamek Fastabiqul Khayrat, Batu 3, di sini.
Agensi itu memaklumkan di Facebook, dana tersebut untuk pemasangan penyaman udara, sistem pembesar suara dan audio masjid.
“Semoga agihan ini dapat dimanfaatkan oleh jemaah dan menjadikan jariah yang mengalir kepada pewakaf sehingga akhirat,” katanya.
Cek cura disampaikan oleh Pegawai Unit Kutipan dan Agihan Bahagian Korporat PWS Ustaz Muhammad Suffian Assauri Omar dan kepasa Imam Masjid Ustaz Muhammad Asim Mohd Ali.
Menurut PWS pada hari penyerahan, pihaknya turut memberikan taklimat mengenai memupuk kesedaran tentang manfaat berwakaf.
“Turut dibuka kaunter wakaf tunai bagi memberi peluang kepada orang ramai melaksanakan ibadah wakaf melalui kaedah potongan gaji, secara terus dan kod QR,” katanya.
PWS memaklumkan sumbangan wakaf boleh dibuat menerusi laman web PWS di fpx.wakafselangor.gov.my atau infaqpay.my/go/wakafselangor untuk berwakaf tunai.