ad
AGENDA

Lelaki rugi hampir RM700,000 ditipu sindiket pelaburan saham tak wujud

30 Sep 2024, 1:57 PM
Lelaki rugi hampir RM700,000 ditipu sindiket pelaburan saham tak wujud

JOHOR BAHRU, 30 SEPT: Seorang lelaki terpaksa berputih mata apabila kerugian RM688,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud yang dikenali sebagai DFA setelah melihatnya di laman Facebook pada 26 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki berusia 50 tahun itu yang berminat dengan pelaburan berkenaan telah berhubung dengan suspek dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan ‘WhatsApp’ pelaburan itu.

Beliau berkata mereka turut berhubung melalui panggilan video dan mangsa diajar cara untuk melabur serta dijanjikan keuntungan sehingga 410 peratus melalui lima fasa pelaburan yang akan berjalan selama lima bulan dengan keuntungan setiap fasa sekitar 50 hingga 150 peratus.

“Mangsa juga diberikan surat perjanjian melalui WhatsApp dan diminta memuat naik aplikasi pelaburan bernama ATS-P bagi urusan selanjutnya. Percaya dengan pelaburan, mangsa melakukan pembayaran melalui 17 transaksi antara 31 Julai hingga 8 September ke tiga akaun bank berbeza.

“Sehingga bulan Ogos lepas, mangsa yang berada di fasa keempat pelaburan dan melabur sebanyak RM688,000 mendapati ada dua kali pulangan wang berjumlah RM64,000, namun gagal untuk mengeluarkannya pada awal September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, setelah gagal mengeluarkan keuntungan, mangsa ketika berhubung dengan suspek terus diminta membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelan, namun enggan sehingga mengakibatkan akaunnya dibekukan sekali gus tidak dapat diakses lagi.

Mangsa yang mula rasa curiga membuat semakan di ibu pejabat syarikat dan dimaklumkan syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dengan pelaburan.

Setelah percaya dia ditipu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terlibat,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.