KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan RM20,000 bagi melaksanakan projek pembelajaran teknologi dron di peringkat sekolah.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata dana untuk pembelian, latihan dan pembelajaran teknologi itu melibatkan empat buah sekolah sekitar Kajang serta Cheras.
Jelasnya, sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jelok, SK Cheras Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko dan SMK Bandar Seri Putra.
“Yayasan MBI ingin mendedahkan kepentingan dron pada masa kini yang berkembang ke sektor pekerjaan seperti penghantaran makanan dan aktiviti pertanian bukan hanya tujuan rekreasi sahaja,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis serahan dron di sini hari ini, yang turut melibatkan kerjasama syarikat Meraque Group dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Meraque Md Razalee Ismail berkata modul pembelajaran turut meliputi peraturan, keselamatan, komponen dan kawalan serta aplikasi dalam teknologi dron.
Menurutnya, pembelajaran dron turut mendedahkan pelajar kepada konsep pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) untuk meningkatkan pengetahuan mereka.
"Kelebihan dron kami mampu menerbangkan hingga 10 teknologi atau alatan ini dalam satu masa kerana dibekalkan dengan pengurusan perisian (software) canggih.
“Ia juga akan membentuk kreativiti dan menambah ilmu pengetahuan pelajar untuk mengawal dron itu tanpa menggunakan alat kawalan jauh,” jelasnya.