ad
ADN

Penduduk Subang Jaya bakal nikmati kemudahan klinik kesihatan

29 Sep 2024, 7:17 AM
Penduduk Subang Jaya bakal nikmati kemudahan klinik kesihatan

Oleh ALIFF HAIQAL MOHAMED

SUBANG JAYA, 29 SEPT: Penantian 20 tahun kira-kira 500,000 penduduk Subang Jaya untuk memiliki klinik kesihatan bakal berakhir apabila ia akan mula dibina menjelang suku pertama tahun depan.

Wakil rakyatnya berkata pembinaan klinik kesihatan di USJ 1 itu telah mendapat kebenaran merancang daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada 27 September lalu.

Menurut Michelle Ng Mei Sze, tender projek yang menelan kos lebih RM52 juta itu dijangka akan dibuka pada Oktober ini dan pembinaan siap sepenuhnya pada 2028.

"Kos pembinaan adalah sebanyak RM52.64 juta dan Klinik Kesihatan USJ 1 juga akan dilengkapi komponen 'infectious disease'.

"Ini merupakan kemudahan yang istimewa bagi klinik kesihatan yang akan dibina di Subang Jaya," katanya ketika ditemui pada Program Pesta Hari Malaysia, di sini semalam.

Tambah Michelle, pembinaan klinik kesihatan itu bakal memudahkan lagi penduduk setempat mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

"Subang Jaya selama ini tiada klinik kesihatan jadi penduduk terpaksa pergi ke klinik kesihatan tempat lain iaitu di Klinik Kesihatan Kelana Jaya.

"Tetapi, klinik itu sekarang dalam proses ubah suai. Maka Klinik Kesihatan Taman Medan kini menerima beben daripada penduduk Subang Jaya dan ada penduduk USJ pergi ke Klinik Kesihatan Batu 14, Puchong.

"Kedua-dua klinik kesihatan ini telah melangkau beban setiap hari, mereka menerima kunjungan seramai 1,000 orang penduduk," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.