ad
AGENDA

Mangsa banjir Kedah meningkat pagi ini, 451 orang di lima PPS

29 Sep 2024, 2:32 AM
Mangsa banjir Kedah meningkat pagi ini, 451 orang di lima PPS

ALOR SETAR, 29 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 451 orang daripada 160 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 163 orang daripada 59 keluarga malam tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Pokok Sena dan Padang Terap itu ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Kubang Pasu, seramai 249 orang daripada 94 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan Lubuk Batu yang dibuka semalam.

Sementara itu, di Pokok Sena, seramai 153 orang daripada 48 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang dan Dewan Serbaguna Pokok Sena manakala di Padang Terap, seramai 49 orang daripada 18 keluarga ditempatkan di Masjid Aisyah Kampung Tanjung Kanan.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 8 pagi paras Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap; Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu telah melebihi paras bahaya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.