SHAH ALAM, 29 SEPT: Seramai 250 anak muda dilantik sebagai Penggerak Belia Selangor (PeBS) bagi penggal 2024/2025 malam tadi.
Watikah pelantikan diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis yang berlangsung di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini.
Majlis bersekali program pemukiman turut dihadiri EXCO Belia Najwan Halimi serta Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Mohamad Nizam Marjugi.
Menerusi kenyataan, Amirudin berkata PeBS penggal ini bertanggungjawab pada struktur pihak berkuasa tempatan (PBT) berbanding musim lalu bawah kawasan ahli dewan negeri.
“Dengan pelantikan ini, Kerajaan Negeri berharap PeBS akan lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab menggerakkan belia akar umbi di zon masing-masing.
“Pentadbiran sentiasa cakna dan berpegang kepada prinsip ‘No one left behind’ terhadap pembangunan masyarakat terutama belia,” katanya.
[caption id="attachment_665496" align="alignnone" width="788"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis penyerahan watikah Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang Jaya pada 28 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ketika berucap, Amirudin berkata pentadbiran bakal menambah peruntukan setiap zon PeBS kepada RM10,000 bagi menjayakan program bermanfaat sepanjang penggal.
Jelasnya, kenaikan sekali ganda berbanding RM5,000 ketika ini akan dimuktamadkan dalam belanjawan negeri yang bakal diumum tidak lama lagi.
“Kita mahu naik taraf dan memperkasa PeBS dengan tambah peruntukan RM5,000 kepada setiap zon PBT.
“Akan umum ketika belanjawan nanti sebab kena lihat kewangan negeri. Kalau tak naik sehingga jumlah itu, mungkin akan bermula dari RM7,000 tapi kita cuba beri RM10,000,” katanya.
Beliau menasihati ahli PeBS untuk menjayakan program bermanfaat selain bekerjasama dengan PBT, ahli majlis, penyelaras DUN dan wakil rakyat.
PeBS ditubuhkan sejak 2008 dengan nama Penggerak Belia Tempatan (PeBT) merupakan program kepimpinan anak muda menjadi wakil pentadbiran bagi menyampai dan melaksanakan dasar negeri kepada golongan belia.