KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Selangor FC mencatat kemenangan berharga selepas mengatasi Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah pasukan tuan rumah di laman sendiri dalam lima perlawanan.
Penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez mencipta sensasi tersendiri apabila meledak gol kemenangan seawal 27 saat untuk mengejutkan Terengganu yang masih belum ‘panas’.
Jaringan diperoleh selepas Fernandez menyudahkan hantaran dekat Alvin Fortes untuk menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.
Selangor bimbingan Mohd Nidzam Jamil hampir menambah jaringan, namun rembatan dari luar kotak Ali Iyad Olwan sekadar melepasi palang gol pada minit ke-20.
Terengganu memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 tetapi rembatan dari luar kotak penalti Manuel Ott sedikit tinggi melepasi palang.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menggandakan asakan, namun tiada gol berjaya dihasilkan.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi posisi Selangor di tempat kedua dengan mengumpul 25 mata selepas 11 perlawanan, enam mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan sembilan mata di depan Terengganu.
-- BERNAMA