ad
AGENDA

GPMS lima negeri serah notis gesa Perhimpunan Agung Tahunan khas segera

28 Sep 2024, 11:54 AM
GPMS lima negeri serah notis gesa Perhimpunan Agung Tahunan khas segera
GPMS lima negeri serah notis gesa Perhimpunan Agung Tahunan khas segera

Oleh Aliff Haiqal Mohamed

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dari lima negeri hari ini menggesa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Khas diadakan bagi melaksanakan pemilihan sekali gus mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Menurut Pengerusi GPMS Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi, notis gesaan yang ditangani pihaknyanya bersama Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Perlis bertujuan mengelakkan sebarang bentuk implikasi terhadap persatuan berkenaan.

[caption id="attachment_665444" align="aligncenter" width="815"] Pengerusi GPMS Selangor Mohd Hidayat Mohd Saufi (dua, kanan) ketika sidang media Selamatkan GPMS di Hotel Fairfield by Mariott Kuala Lumpur pada 28 September 2024. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kami berpendirian arahan ROY untuk mengadakan pemilihan dalam tempoh 30 hari bersifatkan mengikat dan perlu diikuti.

"Maka hari ini kami ambil ketetapan guna hak dalam perlembagaan untuk menandatangani notis menggesa PAT Khas bagi tujuan pelaksanaan permilihan sebagai mematuhi arahan ROY untuk mengelakkan sebarang bentuk implikasi.

“Ke arah menyatakan penegasan itu, dalam masa 30 hari (PAT) ini perlu dilaksanakan setelah notis yang kami aktifkan kami,” katanya ketika sidang media khas ‘Selamatkan GPMS’, di sini, hari ini.

Mohd Hidayat menegaskan adalah tidak wajar untuk mengingkari arahan ROY hanya kerana kekhilafan dan sikap pihak tertentu yang mahu kekal meneraju GPMS lebih lama.

"Saya rasa tidak adil GPMS diperlakukan sedemikian rupa hanya untuk tafsiran tidak sewajarnya berlaku. Sejak 1940-an bergerak tiba-tiba mahu dibatalkan pendaftaran hanya kerana kita mahu kekal lama?

"Saya rasa secara sihat tidak wajar tafsirkan sedemikian. Pemilihan bukan bererti berlaku pertukaran kepimpinan tapi demonrasi berlaku. Hak demokrasi hak perwakilan biarlah mereka tentukan sebagai pemegang amanah besar tanggungjawab itu," katanya yang turut menambah berdasarkan perlembagaan notis tersebut perlu dijawab dalam tempoh 14 hari.

Tambahnya gabungan kelima-lima buah negeri itu bersedia untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan demi melaksanakan PAT dan pemilihan.

Sebelum ini, ROY memutuskan supaya GPMS mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi dalam tempoh 30 hari bermula 23 September lalu.

Bagaimanapun Presiden GPMS Muhd Fazreen Ismadi menegaskan pihaknya mahu mengadakan proses pemilihan itu tahun depan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.