SHAH ALAM, 28 SEPT: Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Karnival iKerjaya sempena Karnival Zakat Selangor pada hujung minggu ini.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan program di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam mulai 9 pagi hingga 6 petang menawarkan kerja melibatkan 30 majikan daripada pelbagai industri.
Menurut agensi itu pelbagai aktiviti dan pertandingan dianjurkan sempena karnival berkenaan seperti jualan Rahmah, cabutan bertuah serta kaunter taksir dan agihan zakat.
“Aktiviti lain termasuk malam gema kasih Ilahi, pertandingan mewarna, pertandingan bicara berirama, pertandingan nasyid, zoo haiwan jinak dan larian CEO.
“Buat julung kalinya LZS bakal menganjurkan Karnival Zakat Selangor. Jom datang beramai-ramai nanti,” katanya di Facebook.
Turut disediakan kaunter bayaran saman dan kompaun Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).