Oleh Aida Nyan
SHAH ALAM, 27 SEPT: Tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan pengusaha dan penggiat industri punca permohonan pensijilan halal di negara ini kurang mendapat sambutan.
Pengarah teknikal Halal Academy berkata konsep pensijilan halal bukan hanya berlandaskan keperluan undang-undang, tetapi melibatkan kesihatan, keselamatan dan kualiti makanan.
"Mereka ini (penggiat industri) tidak ada kesedaran halal di mana konsep pensijilanan halal di Malaysia adakah berdasarkan halalal toyyiban (menyeluruh)," kata Haridyanti Ben.
Bercakap dalam program Hai Selangor terbitan SelangorTV siang tadi, jelasnya, terdapat sembilan skim yang digalak memohon sijil halal seperti makanan dan minuman, kosmetik dan hotel.
Halal Academy bertindak sebagai penyelia latihan yang dipertanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk mengururuskan kapasiti halal dalam inovasi dan pembangunan profesionalisme.
Sementara itu, Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali berkata pensijilan halal mampu menyeragamkan ekosistem industri halal.
Selain itu, katanya, pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf seluruh dunia juga mampu memberi peluang untuk perniagaan menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan ekonomi.
"Jakim mewujudkan piawaian sebagai rujukan seluruh dunia. Malaysia adalah peneraju, pelopor utama dalam pensijilan halal dan kita menjadi rujukan seluruh dunia," katanya.
Julai lalu, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah menyeru syarikat Bumiputera memohon sijil halal bagi mengukuhkan imej produk, sekali gus bersaing dan meneroka pasaran luar negara.
Menurutnya, ia berikutan data menunjukkan hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon sijil halal Jakim melibatkan pengusaha Bumiputera.