ad
AGENDA

Khutbah: Pelihara dari jenayah seks, kanak-kanak berhak dimuliakan

27 Sep 2024, 9:30 AM
Khutbah: Pelihara dari jenayah seks, kanak-kanak berhak dimuliakan

SHAH ALAM, 27 SEPT: Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan orang ramai bahawa keutamaan dalam mendidik anak-anak bagi memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan mereka dituntut dalam Islam.

Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kefahaman ajaran Islam ini terhadap maqasid syariah dan hak kanak-kanak hendaklah difahami oleh semua pihak termasuk Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang kini terpalit dengan kes eksploitasi

"Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan. Kenapa GISBH melakukannya?

"GISBH hendaklah faham bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni. Kanak-kanak mempunyai hak untuk dimuliakan secara adil dan baik.

"Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan selamat serta jauh dari perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak dari ibu bapa malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim," menurutnya.

Mimbar juga berpesan sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan jenayah, amatlah tidak wajar kanak-kanak berkenaan dieksploitasi termasuk menyekat mereka mendapat pendidikan arus perdana.

"Selain itu mereka dengan berniat mengeksploitasi kudrat dan tulang empat kerat kanak-kanak ini demi kepentingan kumpulan mereka.

"Akhirnya sebilangan kanak-kanak tersebut akan menjadi penerus dan pendokong kesesatan akidah dan kepentingan duniawi barisan-barisan kemimpinan GISBH. Kanak-kanak dijadikan hamba demi ketuanan para pemimpinnya," katanya.

Sebelum ini, polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung selepas menyerbu 82 premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Pada 21 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa agama dan polis menutup rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti dan memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.

Sehari selepas itu, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata penelitian berhubung GISBH akan dibentang pada 30 September selepas pihaknya selesai meneliti bukti daripada polis dan Jais.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.