SHAH ALAM, 27 SEPT: Jumlah perpustakaan di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bertambah kepada 105 termasuk lapan pustaka bergerak setakat ini berbanding 86 perpustakaan pada 2008.
Pengarahnya berkata dua lagi perpustakaan bakal dibina dalam masa terdekat di dua projek perumahan rakyat bagi memudahkan penduduk mendapat sumber bacaan.
[caption id="attachment_585961" align="aligncenter" width="815"] Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Pada 2008, negeri ada 86 perpustakaan meningkat kepada 105. Semua perpustakaan ini dilengkapi pelbagai kemudahan demi memastikan keselesaan pengunjung.
“Terbaharu kita sediakan perkhidmatan transit percuma yang dapat membantu ibu bapa bekerja sekali gus menjadi rumah kedua anak-anak,” kata Datin Paduka Mastura Muhammad ketika dihubungi.
Mastura berkata PPAS sentiasa menganjurkan pelbagai program bagi menarik orang ramai dari setiap lapisan umur untuk hadir ke perpustakaan sekali gus memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.
“Perpustakaan Tun Raja Uda di Seksyen 13 menjadi pilihan ramai. Sejak dibuka Julai 2011 hingga sekarang, lebih sembilan juta pengunjung datang.
“Kita mahu luaskan perkhidmatan perpustakaan agar ia jadi pilihan selain rumah serta tempat yang boleh memacu ekonomi. Sebab itu kita sediakan pelbagai kemudahan,” katanya.
[caption id="attachment_623254" align="aligncenter" width="812"] Perpustakaan Awam Selangor@Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi menyediakan ruang lebih selesa untuk pengunjung pelbagai peringkat umur. Foto Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)[/caption]
Meski memasuki era teknologi moden, beliau berkata perpustakaan tetap menjadi pilihan utama memandangkan sumbernya yang sahih dan diyakini.
“Ya kita memasuki teknologi kecerdasan buatan (AI). Bagaimanapun banyak maklumat dan ilmu boleh didapatkan di perpustakaan. Jadi perpustakaan tetap relevan ketika ini,” katanya.
[caption id="attachment_533192" align="aligncenter" width="812"] Kanak-kanak meluang masa membaca buku di perpustakaan bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
Semalam, sebuah akhbar melaporkan sebanyak 348 perpustakaan ditutup dalam tempoh lima tahun menjadikannya 2,654 setakat tahun lalu berbanding 3,002 pada 2019.
Penutupan kemudahan berkenaan disebabkan perubahan pentadbiran, pemusatan perpustakaan, penyatuan perpustakaan kecil selain faktor peralihan dunia ke arah pendigitilan.
[caption id="attachment_654267" align="aligncenter" width="809"] EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Najwan Halimi bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad ketika pelancaran baca basikal buku sempena majlis perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]