Penukaran tulisan jawi kepada rumi merosakkan ejaan bahasa Melayu, dedah pensyarah bahasa Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz.
Ejaan dalam tulisan rumi menjadikan banyak sebutan bahasa Melayu bertukar makna berbanding tulisan jawi yang dapat mengekalkan makna asal bahasa Melayu.
Sebutan perkataan seperti Aidilfitri, Aidiladha, bidaah dan fardu antara perkataan bahasa Melayu berubah makna apabila dirumikan daripada tulisan jawi.
“Bila kita sebut identiti, ada yang boleh dirumikan dan ada yang tak boleh dirumikan. Contohnya, Aidilfitri, Aidiladha. Sebenarnya ‘A’ itu mewakili ‘ain’. Sepatutnya dibaca Eidulfitri tetapi bila ‘ain’ digantikan dengan ‘A’ orang akan baca Aidilfitri atau Aidiladha, dah berbeza dengan sebutan asal.
“Begitu juga bidaah. Kalau b-i-d-a-h dah jadi ‘bidah’. Di sinilah timbul isu. Sama juga seperti nama orang. Ejaannya boleh memberi sebutan berbeza,” katanya ketika ditemui pada 13 Ogos.
Kebelakangan ini, kerosakan sistem ejaan bahasa Melayu menjadi tumpuan dan diperdebatkan banyak pihak, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial.
Kebanyakan ejaan perkataan bahasa Melayu yang meminjam perkataan bahasa Arab didakwa tidak menepati sebutan dan makna sebenar.
Penggunaan tulisan jawi bermula ketika era bahasa Melayu klasik pada abad ke-14, seiring penyebaran agama Islam di nusantara.
Tulisan jawi mengambil abjad Arab yang disesuaikan dengan sebutan bahasa Melayu. Bukti terawal bahasa Melayu ditulis dalam jawi ialah Batu Bersurat Terengganu pada 1303.
Sebelum itu, bahasa Melayu memakai tulisan pallava berdasarkan bukti Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, Sumatera yang bertarikh 683.
Selepas pallava, tulisan kawi pula digunakan. Buktinya pada batu nisan Sheikh Ahmad Majnun di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan yang tahunnya dianggarkan antara 1460 hingga 1467.
“Batu nisan itu ada dua tulisan, kawi dan jawi kerana masa itu tempoh peralihan ke jawi,” katanya.
Sejak itu, tulisan jawi digunakan secara meluas sehinggalah Inggeris mencampuri pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan memperkenalkan tulisan rumi.
Timbalan Dekan Akademi dan Pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi itu menegaskan, meski memperkenal tulisan rumi, pentadbir British tidak pernah mengganggu penggunaan tulisan jawi semasa era kolonial.
Malah, beberapa orientalis British seperti Richard James Wilkinson dan Richard Olaf Winstedt mampu menulis jawi ketika membuat kajian mengenai orang Melayu.
“Sebenarnya British tidak kacau pun tulisan jawi ini sebab itu kita dapati semasa merdeka pun proklamasi merdeka pun ditulis dalam jawi,” kata Dr Adi Yasran.
[caption id="attachment_665293" align="alignleft" width="394"] Timbalan Dekan Akademi dan Pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz.[/caption]
Jawi merosot
Sebaliknya, dasar pendidikan yang dilaksana oleh pemimpin Melayu sendiri menyebabkan penggunaan jawi merosot sehingga menyumbang kepada kerosakan bahasa kebangsaan.
Kongres Persuratan Melayu Ketiga pada 1956 memutuskan rumi sebagai tulisan rasmi kebangsaan walau ketua panitia kongres ketika itu, Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Pendeta Za’ba sangat menyokong tulisan jawi.
Pada 1966, Menteri Pendidikan Tan Sri Mohamed Khir Johari dengan persetujuan jemaah menteri memansuhkan tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara.
Keputusan kerajaan diperkukuhkan lagi dengan pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperakukan tulisan rumi sebagai tulisan untuk bahasa Melayu.
Akibatnya kemerosotan penggunaan tulisan jawi mula dirasai dalam kehidupan masyarakat dan urusan rasmi bermula dekad 1970-an.
Kesan itu termasuk kitab-kitab lama dan bahan bacaan bertulisan jawi seperti akhbar Utusan Melayu semakin tidak mendapat sambutan pembaca Melayu.
“Sebenarnya dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 itu dimahsyurkan tulisan rumi sebagai tulisan kebangsaan berserta syarat tidak boleh larang menggunakan tulisan Melayu yang lebih dikenali sebagai tulisan jawi.
“Walau rumi tulisan utama tetapi jawi masih boleh digunakan. Beberapa perubahan misalnya buku teks agama Islam ditukar jawi ke rumi.
“Jadi apabila ditukar jawi ke rumi, maka jawi tiada lagi kepentingan untuk dipelajari sebab bahasa Melayu pun dah guna rumi dan buku teks agama Islam pun guna rumi. Jadi, seolah-olah dah tiada lagi kepentingan pelajari tulisan rumi,” katanya.
Dr Adi Yasran menggesa semua pihak memainkan peranan menghidupkan tulisan jawi bagi memelihara warisan bahasa Melayu.
Usaha seperti Jabatan Mufti Selangor menerbitkan kitab Matla’ al Badrain karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani dalam tulisan jawi moden perlu lebih banyak dibuat.
Tindakan Perpustakaan Negara Malaysia menganjurkan Klinik Jawi dan menerbitkan buku Kaedah Pembelajaran Jawi juga wajar dicontohi.
“Mereka yang mahir menulis jawi perlu mengamalkan dan menyebarkannya penggunaan di media sosial. Kalau kita tak mampu buat semua, jangan tinggal semua,” kata Dr Adi Yasran.