SHAH ALAM, 27 SEPT: Program Talaqqi Kitab Turath Islami bagi mengupas karya agung Imam Al-Ghazali diteruskan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1 hingga 3 Oktober ini.
Menampilkan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni, program kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjur pada Mei dan Jun lalu akan mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.
Program pada 1 Oktober meliputi dua sesi iaitu kuliah Dhuha (9 hingga 11 pagi) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam) manakala pada 2 dan 3 Oktober sesi kuliah Dhuha diadakan mulai 9 hingga 11 pagi.
Siri program mengupas kitab itu anjuran bersama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Pejabat Dato’ Menteri Besar, Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath dan masjid negeri.
Jemputan majlis ilmu itu terbuka untuk semua muslimin dan muslimat selain kitab-kitab juga akan dijual di reruai IBDE di sana.
Kerajaan Negeri turut menganjurkan Festival Turath Islami Selangor kali kedua tahun ini pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.
Acara untuk memartabat syiar Islam dan menyebar warisan keilmuan Islam itu menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang mengupas Kitab Hadis 40 Imam Nawawi.
Festival itu turut mengadakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.