PUTRAJAYA, 26 SEPT: Semua sektor pekerjaan di negara ini berdepan tindakan tegas oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) tahun depan jika mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JTKSM Ahamad Kamal Mohd Noor berkata tidak ramai mengetahui undang-undang pekerjaan membabitkan kanak-kanak dan belia yang belum mencapai umur 18 tahun.
“Tahun depan kita akan kuat kuasa akta penggajian kanak-kanak dengan lebih tegas. Tahun ini kita sasar buat kempen kesedaran kepada semua pihak.
“Kebanyakan industri terutamanya industri seni kurang sedar berkenaan undang-undang penggajian kanak-kanak. Di bawah Akta 350, majikan perlu dapatkan kebenaran daripada pihak JTKSM,” katanya.
[caption id="attachment_665145" align="alignleft" width="314"] Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Ahamad Kamal Mohd Noor. Foto SOFIA NASIR/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui selepas menghadiri Konvesyen Perburuhan JTKSM 2024: Penggajian Kanak-Kanak dan Orang Muda Dalam Industri Hiburan di Hotel Dorsett di sini, hari ini.
Mengikut Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350), kanak-kanak dan belia bawah 18 tahun tidak boleh bekerja pada waktu malam, hanya dibenarkan bekerja tidak lebih 3 hingga 4 jam serta hanya tertakluk kepada tugas ringan.
Dalam pada itu, Ahamad Kamal berkata majikan perlu membuat permohonan permit kepada JTKSM sekiranya ada pekerjaan yang membabitkan kanak-kanak dan belia bawah 18 tahun.
Jelasnya, permit terbabit tidak dikenakan sebarang bayaran serta prosesnya juga mudah dan boleh dibuat menerusi atas talian.
“Permohonan permit adalah mudah dan percuma. Diharap selepas ini lebih ramai majikan ada kesedaran kerana kita akan lebih tegas mulai tahun depan,” katanya.
Bagi kesalahan Akta 350 untuk kanak-kanak, majikan berdepan denda sehingga RM50,000 dan penjara dua tahun, manakala denda sehingga RM100,000 dan penjara lima tahun kepada majikan yang mengeksploitasi remaja bawah 18 tahun.