ad
AGENDA

Menteri: Pupuk minat sains, teknologi di sekolah rendah, lahir ramai tenaga mahir

26 Sep 2024, 10:00 AM
Menteri: Pupuk minat sains, teknologi di sekolah rendah, lahir ramai tenaga mahir

KLANG, 26 SEPT: Bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) menjadi agenda utama dalam tempoh beberapa tahun ini memandangkan sektor itu menerima jumlah pelaburan tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan perlu dilaksanakan bagi memenuhi kehendak pasaran.

“Kita tidak boleh mula di peringkat sekolah menengah atau universiti sebaliknya kena mulakan dari sekolah rendah seperti program hari ini. Ini usaha memupuk minat dan cungkil bakat bidang STI.

“Selain program ini, MOSTI turut jayakan Minggu Sains Negara yang berlangsung enam bulan di kebanyakan negeri termasuk pameran dan karnival sains supaya agenda negara untuk melatih ramai STI pada masa akan datang,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian penutup Malaysia Techlympics 2024 peringkat zon tengah melibatkan 1,847 pelajar sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar berkata program berkenaan menjadi platform negeri melahirkan lebih ramai tenaga mahir selain meneruskan momentum minat golongan muda dalam bidang berkenaan.

“Ramai minat teroka bidang ini namun disebabkan tiada tarikan seperti program ini, minat mereka terhenti dan beralih ke bidang lain yang kurang popular. Pergi ke bidang tidak profesional.

“Program hari ini disertai 388 anak Selangor dengan penyertaan 17 sekolah rendah dan 11 peringkat menengah. Ini jelas menunjukkan minat yang tinggi terhadap STI dalam kalangan pelajar kita di Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Malaysia Techlympics tahun ini menyasarkan penglibatan seramai 1.6 juta murid dan pelajar menerusi penyertaan secara fizikal mahupun dalam talian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.