ad
AGENDA

Lapan tong sisa buangan dipercayai bahan kimia ditemui dalam parit

26 Sep 2024, 8:43 AM
Lapan tong sisa buangan dipercayai bahan kimia ditemui dalam parit

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Lapan tong sisa buangan jenis cecair dipercayai bahan kimia ditemui di dalam parit berhampiran kawasan perkilangan di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di sini dua hari lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.02 malam, Selasa lalu sebelum menemui tong berkenaan di dalam parit sedalam 0.3 meter.

Beliau berkata Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ketika ini masih dalam proses mengalihkan tong berkenaan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel.

Mukhlis berkata operasi itu turut melibatkan bantuan JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.

Sementara itu, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata siasatan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesahkan terdapat lapan tong tanpa label ditemui dalam parit terbabit selain mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi tersebut.

"Pemerhatian lanjut Luas mendapati alur parit memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air (LRA) berada di hilir aliran itu," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MPS sudah memasang pita keselamatan di lokasi untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.