KLANG, 26 SEPT: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bersiap sedia menggerakkan anggota dan asetnya ke kawasan berisiko berikutan peralihan monsun yang dijangka berterusan hingga awal November.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata parameter ketika banjir besar pada 2021 menjadi panduan pentadbiran negeri untuk memastikan tindakan pantas dan lancar.
“Setakat ini masih lagi terkawal tetapi kita akan memperkemas lagi usaha pengaliran dan saluran. Kena pastikan ada langkah kawalan seperti membaiki atau menaik taraf saliran terutama waktu kemuncak pada November atau Disember,” katanya di sini, hari ini.
[caption id="attachment_664988" align="aligncenter" width="752"] Banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Kota Kemuning, Seri Muda dan Jalan Kebun, Shah Alam pada 25 September 2024. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor[/caption]
Ditemui pada majlis penutup Malaysia Techlympics 2024 peringkat zon tengah, Amirudin berkata taburan hujan tinggi sekitar 119mm punca banjir di Jalan Kebun, Kota Kemuning dan Taman Seri Muda.
“Kalau kadar hujan bawah 100 mm masih lagi selamat cuma berlaku kesesakan (trafik) dan banjir kilat sekitar sejam dua jam," jelasnya.
Dalam pada itu, Amirudin menambah premis yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum ini akan didaftarkan semula bagi menempatkan mangsa banjir jika perlu.
Semalam, beberapa kawasan sekitar Kota Kemuning dan Jalan Kebun, Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama beberapa jam bermula 2 petang.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat sekitar jam 2.56 petang.