ad
AGENDA

Sultan disembah maklum warkah mohon ampun MB Kedah

26 Sep 2024, 4:00 AM
Sultan disembah maklum warkah mohon ampun MB Kedah

SHAH ALAM, 26 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disembah maklum surat permohonan maaf Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, surat bertarikh 25 September memuatkan permohonan ampun Muhammad Sanusi yang dituduh di mahkamah kerana dianggap menghina dan tidak menghormati Baginda.

"Beliau turut mengakui kenyataan beliau itu menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang timbul daripada kenyataan tersebut," kata kenyataan itu.

Semalam, Muhammad Sanusi juga memohon maaf kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan rakyat negeri ini berhubung kenyataannya, yang turut meremehkan pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Patik dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan kepada Sultan Sharafuddin atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku serta Dato’ Menteri Besar dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” katanya ketika membaca permohonan maafnya itu dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Muhammad Sanusi turut berjanji untuk lebih berhati-hati membuat kenyataan pada masa depan dan memastikan setiap ucapannya selaras adab sopan budaya Melayu yang menjunjung tinggi institusi Raja.

Pada 18 Julai 2023, wakil rakyat Jeneri itu dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kenyataannya itu, yang dibuat menjelang kempen pilihan raya negeri di Taman Selayang Mutiara, Gombak.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.