SHAH ALAM, 25 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan susulan penemuan lapan tong disyaki mengandungi bahan kimia yang dibuang ke dalam alur parit di kawasan perindustrian Desa Aman, Sungai Buloh, semalam.
EXCO alam sekitar berkata agensi berkenaan telah melakukan pensampelan untuk analisis lanjut dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 dibuka.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, tiada loji rawatan air terjejas dan kerja pembersihan di lokasi kejadian sudah dilaksana oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
"LUAS bersama MPS segera ke lokasi (sekitar 2 petang, semalam) dan menemui lapan tong tidak berlabel dibuang di lokasi berkenaan.
"Pemerhatian lanjut LUAS mendapati alur parit tersebut memasuki Sungai Gasi seterusnya ke Sungai Buloh. Tiada muka sauk loji rawatan air berada di hilir aliran terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
[caption id="attachment_665024" align="aligncenter" width="812"] Petugas Jabatan Alam Sekitar mengambil sampel di tong yang dipercayai mengandungi bahan kimia yang dibuang ke dalam alur parit di kawasan perindustrian Desa Aman, Sungai Buloh pada 24 September 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor[/caption]
Jamaliah menjelaskan LUAS merujuk kes berkenaan kepada agensi terlibat antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
"LUAS merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang bertindak segera sekali gus mengelak dampak lebih besar kepada sumber air khususnya sungai.
"LUAS dan agensi Kerajaan Negeri serius dalam memastikan sumber air dan alam sekitar sentiasa terpelihara," katanya.
Jamaliah menambah, Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar tidak menjadikan kawasan sumber air terutamanya sungai sebagai tempat pembuangan sampah dan sisa.
"Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan sumber air," katanya.