SHAH ALAM, 25 SEPT: Menteri Besar Kedah hari ini memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas kenyataannya yang dianggap menghina dan tidak menghormati Baginda.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga meminta maaf kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta seluruh rakyat Selangor berhubung kenyataannya, yang turut meremehkan pelantikan Dato' Menteri Besar Selangor.
“Patik dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan kepada Sultan Sharafuddin atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.
“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.
"Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku serta Dato' Menteri Besar dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik," katanya ketika membaca permohonan maafnya itu dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Muhammad Sanusi turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa depan dan memastikan setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan institusi Raja.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kenyataannya itu, yang dibuat menjelang kempen pilihan raya negeri di Taman Selayang Mutiara di Gombak pada 11 Julai tahun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.