ad
AGENDA

Mais tutup lapan sekolah terkait GISBH, ambil alih pengurusan masjid

25 Sep 2024, 9:43 AM
Mais tutup lapan sekolah terkait GISBH, ambil alih pengurusan masjid
Mais tutup lapan sekolah terkait GISBH, ambil alih pengurusan masjid
Mais tutup lapan sekolah terkait GISBH, ambil alih pengurusan masjid

SHAH ALAM, 25 SEPT: Lapan sekolah Islam persendirian yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) ditutup pada 23 September berikutan menyalahi undang-undang.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata pihaknya turut mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH, kedua-duanya di Bandar Country Homes Rawang.

"(Tindakan ini) sementara siasatan berhubung kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah terhadap GISBH dan rangkaiannya selesai dilaksanakan," kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Sekolah berkenaan ialah Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam Miftahul

Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang dan Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong.

[caption id="attachment_663306" align="alignright" width="426"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditemui pada program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka Mais di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Turut ditutup ialah Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam; Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati sekolah itu melanggar Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Abdul Aziz menegaskan tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada peruntukan EPSAI 1988.

Dalam pada itu, katanya, jawatankuasa khas ditubuhkan terdiri daripada Mais, Jais, Jabatan Mufti Selangor, polis dan agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

Tambahnya, Mais akan turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memulihkan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal, yang kini ditempatkan di rumah kawalan agensi itu.

"Mais akan terus melaksana penguatkuasaan serius dan bersepadu bagi memastikan gerakan sebaran yang menyeleweng daripada Islam sebenar dibanteras sepenuhnya di Selangor dan semua pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan," kata Abdul Aziz.

[caption id="attachment_664597" align="aligncenter" width="814"] Pihak berkuasa menyita salah sebuah premis milik Global Ikhwan Services And Business Holding (GISBH) dalam sebuah operasi di Bandar Country Homes, Rawang pada 21 September 2024. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang[/caption]

Sebelum ini, polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung selepas menyerbu 82 premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Pada 21 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa agama dan polis menutup rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti dan memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.

Sehari selepas itu, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata penelitian berhubung GISBH akan dibentang pada 30 September selepas pihaknya selesai meneliti bukti daripada polis dan Jais.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.