ad
AGENDA

Lelaki miliki 26 rekod jenayah maut ditembak, polis temui pistol, peluru

25 Sep 2024, 6:05 AM
Lelaki miliki 26 rekod jenayah maut ditembak, polis temui pistol, peluru

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Lelaki dipercayai mempunyai 26 rekod jenayah ditembak mati ketika cuba ditahan polis selepas disyaki terbabit kegiatan pecah rumah.

Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi tadi di Bandar Baru Kundang ketika suspek berusia 37 tahun yang menaiki kereta Nissan Grand Livina cuba ditahan sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kota Damansara.

Ketika tiba di Jalan KBK 4, Bandar Baru Kundang, suspek berjaya dikepung namun bertindak mengundurkan kenderaannya hingga merempuh kereta dinaiki anggota polis.

Anggota polis dilapor terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan kereta dipandu lelaki itu terbabas di bahu jalan, lapor Berita Harian.

Suspek dipercayai mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Hasil siasatan awal mendapati suspek memiliki 17 rekod berkaitan jenayah dan sembilan rekod kesalahan berkaitan dadah di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui dua pucuk pistol dan peluru, tiga bilah parang, kapak pemotong besi dan kuku kambing yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan akan menyalur maklumat lanjut menerusi sidang media atau kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.