SHAH ALAM, 25 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Malam Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di ibu negara Ahad lalu.
Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad.
“Majlis anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia itu diadakan bagi mengiktiraf peranan wanita dalam memperkasa masyarakat.
“Pelbagai aktiviti pemerkasaan wanita dan masyarakat dilaksanakan seiring penganjurannya sejak 2007 selaras usaha kerajaan memperkasa golongan wanita,” kata Facebook Selangor Royal Office.
Pada majlis sama Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan menyampaikan tiga anugerah utama kepada pemenang.
“Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2024/ 2025 dirangkul Pengarah Eksekutif dan Ketua Kelestarian dan Advokasi Khazanah Nasional, Datuk Shahira Ahmed Bazari,” katanya.
[caption id="attachment_664923" align="aligncenter" width="938"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyampaikan anugerah kepada pemenang pada Malam Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 September 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]