SHAH ALAM, 25 SEPT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor cadang Kerajaan Negeri mengkaji langkah memperluas perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada Belanjawan 2025.
Pengarahnya Ismail Abi Hashim berkata golongan wanita boleh mendapat perlindungan secara komprehensif jika terlibat kemalangan atau bencana ketika menguruskan rumah tangga dengan caruman RM120 setahun.
“Setakat ini 30,800 mendaftar di Selangor dan jumlah ini perlu ditingkatkan supaya bantuan kepada wanita khususnya mereka yang kurang pendapatan dapat diberikan.
“Perkeso Selangor meletakkan sasaran 80,000 mencarum, tetapi ini mengambil tempoh masa panjang kerana memerlukan proses mendidik masyarakat untuk memahami keperluan mencarum.
“Selain itu, kami berharap Kerajaan Negeri menyokong cadangan Perkeso Selangor meluaskan caruman kepada individu yang mendaftar perniagaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan golongan rentan wanita seperti Orang Asli dan asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau berharap Kerajaan Negeri meneruskan Karnival Jelajah JobCare di sembilan daerah pada Belanjawan 2025.
“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan untuk menganjurkan jelajah kerjaya ini dengan kerjasama Perkeso Selangor. Saya harap ia diteruskan pada Belanjawan 2025.
“Karnival ini sangat membantu golongan yang menamatkan pengajian di peringkat sekolah atau institut pengajian tinggi yang memerlukan pekerjaan mengikut kelulusan dan kemahiran,” ujarnya.