SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menganjurkan karnival yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik selain mempromosi destinasi menarik di pekan tersebut pada 28 September ini.
Bermula jam 7.30 pagi hingga 11 malam di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar, Karnival Jelajah 3S (Santai, Sihat, Sejahtera) dan Jelajah Seni Budaya dan Warisan Sabak Bernam turut menampilkan persembahan seni dan pertandingan untuk seisi keluarga.
"Karnival ini bertujuan mengembalikan keceriaan pekan Sungai Besar pada hujung minggu dan sempena cuti sekolah dengan pelbagai aktiviti menarik turut diadakan kepada pengunjung.
"Ia juga sebagai salah satu kaedah untuk mempromosi pekan Sungai Besar iaitu bandar utama daerah Sabak Bernam yang memiliki keistimewaan seperti kepelbagaian produk agropelancongan," maklum MDSB menerusi kenyataan.
Antara pengisian menarik adalah Kayuhan Santai @ Bendang sempena Jom CERGAS @ Sungai Besar dengan jarak kayuhan 15 kilometer dan terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.
Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun; pertandingan seni hias pulut kuning; sukan rakyat seperti congkak, batu seremban, dam haji dan boling kelapa.




