ad
AGENDA

Terperdaya pelaburan saham tawar untung segera, pesara rugi RM1.24 juta

24 Sep 2024, 1:50 PM
Terperdaya pelaburan saham tawar untung segera, pesara rugi RM1.24 juta

JOHOR BAHRU, 24 SEPT: Seorang pesara kerajaan kerugian RM1.24 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham pratawaran awam permulaan (IPO), pada awal Jun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata lelaki berusia 70 tahun itu terlihat iklan pelaburan saham IPO di Facebook yang menawarkan keuntungan tinggi pada kadar segera.

Beliau berkata warga emas itu kemudiannya berurusan dengan seorang individu bagi mendapatkan maklumat lanjut menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan kemudiannya membuat pelaburan pertama dan menerima keuntungan seperti dijanjikan pada Julai lepas, menyebabkan dia percaya bahawa pelaburan tersebut adalah betul.

“Seterusnya, mangsa dijanjikan akan menerima pulangan lebih tinggi sekiranya menambah pelaburan dan dia kemudiannya melakukan beberapa transaksi pembayaran berjumlah RM1.24 juta ke beberapa akaun yang diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan tambahan yang dibuat, sebaliknya dia terus didesak untuk menambah lagi jumlah pelaburannya.

“Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat,” katanya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.