ad
AGENDA

Dua beradik maut motosikal rempuh tong sampah roro

24 Sep 2024, 2:42 AM
Dua beradik maut motosikal rempuh tong sampah roro

MELAKA, 24 SEPT: Dua beradik maut dalam kemalangan selepas motosikal mereka merempuh tong sampah roro di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 petang semalam, motosikal jenis Demak DV110 yang ditunggang Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.

"Siasatan mendapati ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Amirul Hazlin dipercayai tidak perasan terdapat sebuah tong sampah roro di bahu jalan berkenaan sebelum melanggarnya.

"Dua beradik berkenaan mengalami kecederaan parah akibat pelanggaran itu dan mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan di zon merah sebelum meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Muhammad Amirul Hazlin meninggal dunia pada 7.40 petang semalam, manakala adiknya pula meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi.

Pihaknya sedang mengesan pemilik tong sampah roro berkenaan serta saksi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah beliau.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.