SHAH ALAM, 23 SEPT: Kontinjen Selangor menduduki tangga ke tiga dengan kutipan lima emas, empat perak dan tujuh gangsa pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak hari ini.
Emas diraih menerusi acara renang 100m kuak dada wanita, 100m kuak letang wanita dan 4x100m gaya bebas campuran.
Dua lagi emas disumbang menerusi acara olahraga 100m lelaki T13 dan 100m lelaki T12.
Sementara kesemua pingat perak pula diraih acara olahraga menerusi 100m lelaki T47, 100m wanita T11/T12, lempar cakera lelaki dan rejam lembing lelaki.
Bagi pingat gangsa, Selangor meraih menerusi 1,500m lelaki T37, 100m lelaki T46, 100m lelaki T45, lempar cakera wanita dan rejam lembing lelaki.
Dua lagi gangsa diraih menerusi acara renang 100m gaya bebas wanita dan 100m kuak lentang lelaki.
Selangor menyasarkan berada di kedudukan tiga teratas dengan kutipan keseluruhan 82 pingat merangkumi 29 emas, 24 perak dan 29 gangsa pada temasya yang membuka tirainya semalam hingga 28 September.
Kontinjen Selangor mengambil bahagian dalam semua 10 acara yang dipertandingkan antaranya badminton, renang, memanah, ping pong dan powerlifting dengan setiap daripadanya berpotensi menyumbang emas.
Harapan itu digalas 104 atlet yang akan beraksi dibantu seramai 56 jurulatih, pengurusan dan pegawai pengiring.