ad
AGENDA

Anggota tentera maut ditembak pemburu haram ketika jalani latihan

23 Sep 2024, 11:48 AM
Anggota tentera maut ditembak pemburu haram ketika jalani latihan

KUCHING, 23 SEPT: Seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutan di Song dalam Bahagian Kapit, maut terkena tembakan dipercayai dilepaskan pemburu haram hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa yang berpangkat Koperal berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit, pada jam 7.43 pagi tadi.

Beliau berkata, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan polis melancarkan gerakan memburu suspek yang melepaskan tembakan itu.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus, Song itu pada jam 5.57 pagi hari ini.

"Pengadu memaklumkan seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan terkena tembakan disyaki dilepaskan orang awam yang memburu di kawasan itu.

"Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kapit namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

Sementara itu, sumber berkata, ketika kejadian mangsa dari Batalion Ke-3, Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) sedang menjalani latihan Eksesais Pasak Bumi Siri 2/2024.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di pinggang dan paha kiri akibat tembakan yang berlaku pada jam 2.45 pagi.

Beliau berkata, bantuan tiba di tempat kejadian pada jam 3.20 pagi dan mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song dan kemudian dipindahkan ke Hospital Kapit pada jam 5.05 pagi.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke Hospital Kapit, mangsa mengalami muntah darah sebanyak dua kali dan dalam keadaan lemah.

"Sebaik tiba di Hospital Kapit pada jam 5.45 pagi, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.