KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Jabatan Penjara mengesahkan penangkapan semula banduan reman yang melarikan diri pada 18 September lalu ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Menurut kenyataan Jabatan Penjara, tangkapan itu dilakukan pegawai penjara 11 pagi tadi di Terminal Bas Rapid Kuantan, Pahang berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
“Banduan reman terbabit diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan, Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas dan segera kepada individu yang didapati cuai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan berlakunya kejadian banduan lari,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam serta pihak yang membantu sepanjang operasi pencarian dijalankan.
Bernama sebelum ini melaporkan seorang banduan Penjara Sungai Buloh yang menerima rawatan di hospital berkenaan melarikan diri pada 3.56 petang, Rabu lalu.
Menurut laporan itu, polis menerima maklumat daripada pihak hospital yang memaklumkan seorang banduan tiada di katilnya dan disyaki melarikan diri.
- BERNAMA