GOMBAK, 23 SEPT: Sejumlah RM7.7 juta tunggakan cukai taksiran dikutip Majlis Perbandaran Selayang (MPS) daripada jumlah keseluruhan RM10.68 juta.
Yang dipertuanya berkata MPS turut memproses notis cukai taksiran (Borang E) kepada 69,966 akaun tertunggak setelah tempoh bayaran bagi penggal kedua tamat pada 31 Ogos lepas.
[caption id="attachment_664631" align="aligncenter" width="743"] Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaluddin pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis MPS di Menara MPS pada 23 September 2024. Foto Majlis Perbandaran Selayang[/caption]
“Semua akaun yang diproses notis cukai taksiran ini turut dikenakan caj lewat RM20. Notis ini akan tamat pada 30 September.
“Tindakan waran tahanan dengan caj RM100 akan dikenakan kepada akaun tertunggak setelah tamat notis,” kata Shahman Jalaludin pada mesyuarat bulanan di Menara MPS, di sini hari ini.
Shahman memberitahu MPS turut mengutip RM55.31 juta cukai taksiran penggal pertama bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai.
“Manakala dalam penggal kedua setakat 31 Ogos sebanyak 35.91 juta dikutip dari jumlah keseluruhan RM117 juta,” katanya.
Tambahnya, MPS turut merekodkan kutipan hasil RM547,409.78 pada Ogos melalui portal MYMPS.
“Kutipan terbanyak hasil dari sewaan kedai RM290,536 diikuti cagaran (RM93,512.62), lesen perniagaan (RM82,390.16), kompaun (RM42,275), permit bangunan dan perancang (RM24,589), cagaran (RM5,880) dan pelan (RM905).
“Portal MYMPS telah dinaiktaraf bagi memudahkan para peniaga memperbaharui dan membuat bayaran lesen perniagaan, sewaan gerai dan permit bangunan,” jelasnya.