SELAYANG, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terus memantau dan meningkatkan penguatkuasaan di rangkaian premis milik Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).
Timbalan Yang Dipertuanya Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata tindakan termasuk menyita premis akan dibuat jika didapati melanggar undang-undang ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.
“Kelmarin, kita laksana operasi bersepadu bersama polis dan antara tindakan diambil ialah menutup premis yang tiada lesen, menyita dan mengeluarkan notis serta kompaun atas pelbagai kesalahan.
“Ini adalah isyarat bukan sahaja berkaitan kes seperti ini tetapi kepada peniaga dalam kawasan pentadbiran MPS supaya mengikut perundangan ditetapkan,” katanya.
[caption id="attachment_664598" align="alignright" width="434"] Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Adi Faizal Ahmad Tarmizi berucap ketika majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kejohanan ke-9 Kundang Jet Sports Geopark 2024 di Tasik Biru Kundang, Selayang pada 22 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Kundang Jet Sport Geopark ke-9 2024 di Tasik Biru Kundang, Rawang di sini, semalam.
Kelmarin, polis Selangor menyerbu kawasan pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki rangkaian GISBH di Bandar Country Homes, Rawang pada jam 6.30 pagi.
Pusat perniagaan diperiksa seperti restoran, bengkel, kedai pakaian terpakai, pencetakan, pasar raya, kedai bakeri, pusat khidmat media, hotel, butik dan galeri yang menggunakan nama GISBH.
Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kesal dan kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Baginda turut menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan, selain menggesa Jawatankuasa Fatwa Selangor memutuskan sama ada GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam.
Berikutan itu, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir memaklumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Selangor akan membentang penelitian berhubung kegiatan GISBH pada 30 September.