SHAH ALAM, 23 SEPT: Tindakan tegas wajar dikenakan kepada kumpulan Global Ikhwan Services And Business Holding (GISBH), yang disyaki melakukan jenayah berat termasuk penindasan kanak-kanak.
Pendakwah terkenal Prof Madya Dato’ Dr Farid Ravi Abdullah yakin pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Selangor dan polis mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa kumpulan berkenaan.
“Pembongkaran demi pembongkaran terhadap aktiviti kumpulan itu makin membuktikan aktiviti mereka bertentangan ajaran Islam sebenar, contohnya pendoktrinan kepada warganya dan pelajar.
[caption id="attachment_606857" align="alignright" width="342"] Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) Prof Madya Dato’ Dr Farid Ravi Abdullah ketika ditemu bual Media Selangor di Jordan pada 9 Oktober 2023. Foto tangkap layar video Media Selangor[/caption]
“Doktrin ini bercanggah dengan ajaran agama terutama akidah dan amalan seseorang Muslim. Begitu juga bukti video kanak-kanak didera tanpa belas kasihan. Ini amat bertentangan,” katanya yang juga naib canselor Universiti Islam Selangor.
Sementara itu, pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (Pitas) menyokong tindakan memantau semua operasi dan program di setiap rumah amal dan kebajikan selepas ini.
Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata langkah itu akan memastikan setiap pengusaha atau pemilik mematuhi peraturan, sekali gus menepati syarat ditetapkan.
“Kita harap akan ada tindakan tepat untuk atasi isu berkaitan GISBH ini termasuk kekerapan pemantauan. Langkah ini juga dapat mengelakkan perkara sebegini kembali berulang.
[caption id="attachment_609315" align="alignleft" width="282"] Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) Mohamad Hafiz Haneefa[/caption]
“Jangan tuding jari kepada mana-mana pihak kerana sebagai manusia kita sering lakukan kesilapan, tetapi perkara ini boleh mengajar kita dan tambah baik pada masa depan,” katanya.
Kelmarin, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kesal dan kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Baginda turut menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan, selain menggesa Jawatankuasa Fatwa Selangor memutuskan sama ada GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam.
Sebelum ini, polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal dan kediaman persendirian, dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.
Ketika serbuan di Kelantan, puluhan buku ditemui berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi itu, yang ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman kumpulan berkenaan di Kampung Panji, Kota Bahru.
[caption id="attachment_664590" align="aligncenter" width="736"] Polis Kelantan merampas pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISBH yang ditanam di tepi pinggir sungai, selain ada yang turut dibakar ketika serbuan di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Sebahagian buku tersebut turut dibakar, dipercayai bagi menghapuskan bukti selain mengelak daripada dirampas pihak berkuasa.
Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
GISB yang sebelum ini menafikan kaitannya dengan al-Arqam menafikan dakwaan terhadap mereka dan menganggap tuduhan sedemikian bertujuan menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat.