ad
AGENDA

Nur Izzuddin-Sze Fei juara Terbuka China

22 Sep 2024, 12:41 PM
Nur Izzuddin-Sze Fei juara Terbuka China

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai saingan Terbuka China dengan menewaskan pasangan tuan rumah di Changzhou hari ini.

Kejayaan menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu merupakan pencapaian terbesar dalam karier pasangan negara itu setakat ini selepas muncul juara Terbuka Jepun, bulan lalu.

Pada aksi final, gandingan nombor 12 dunia itu yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan tidak diberi laluan mudah oleh He Ji Ting-Ren Xiang Yu apabila tewas 13-21 di set pertama.

Bagaimanapun, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak mengalah apabila bangkit mencatat keputusan 21-12, 21-17 ke atas lawan di ranking ketujuh dunia itu sekali gus menoktahkan kemenangan bersejarah mereka.

Selaku juara Terbuka China, Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$148,000 (RM622,361)manakala Ji Ting-Xiang Yu meraih AS$70,000 (RM294,360).

Kecemerlangan itu juga membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin muncul beregu lelaki negara kedua mengungguli Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan legenda adik beradik Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada 1989.

Sebagai rekod, hujung bulan lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin untuk bergerak secara profesional bermula 1 Sept.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.