SHAH ALAM, 22 SEPT: Di sebalik cabaran undi tidak percaya kepada pembangkang, perdana menteri perlu menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan kebajikan sosial rakyat.
Timbalan pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu mempertimbang ancaman politik yang boleh menggugat stabiliti.
“Cabaran kepada pembangkang adalah langkah strategik yang mungkin diperlukan untuk memfokuskan perhatian kepada tanggungjawab yang lebih besar.
"Langkah ini bagi memandulkan terus permainan persepsi pembangkang untuk menukar kerajaan secara tebuk atap dan pintu belakang," kata Danish Hairudin menerusi kenyataan.
Menurutnya, cabaran usul undi tidak percaya juga merupakan elemen penting dalam proses demokratik dan mengukuhkan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri.
“Ketika pembangkang menggesa untuk mencabar kedudukan beliau, ini bukan hanya tentang mempertahankan jawatan, tetapi juga bagi memastikan kestabilan dalam kerajaan.
“Tanggungjawab pemimpin adalah untuk menjaga kepercayaan rakyat dan memastikan agenda pentadbiran dapat dilaksana tanpa gangguan,” katanya.
Semalam, calon ketua armada Bersatu berkata perdana menteri tidak perlu gusar kedudukannya tergugat jika mempunyai sokongan majoriti mencukupi.
Muhammad Hilman Idham berkata Anwar seharusnya memfokuskan isu pentadbiran berbanding melontarkan cabaran kepada Perikatan Nasional berkenaan undi tidak percaya.
Kelmarin, Anwar mencabar pembangkang menghantar usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini ketika berucap di Himpunan Parti Keadilan Rakyat Suara Rakyat Suara Keramat.