SHAH ALAM, 22 SEPT: Seramai 24,306 pelajar dan 226 sekolah di negara ini menerima bantuan tunai Yayasan Bank Rakyat (YBR) setakat bulan ini.
YBR menerusi kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu pihaknya memperuntuk RM2.94 juta membabitkan sekolah di 65 lokasi seluruh Malaysia.
“Bantuan ini bertujuan membantu pihak sekolah memantapkan lagi tahap pencapaian pelajar melalui pelaksanaan program pendidikan serta bantuan tunai kepada pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga B40,” katanya.
Semalam, yayasan itu bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengadakan sesi serahan Insentif Pendidikan YBR kepada 500 pelajar di sekitar Sungai Buloh dengan peruntukan RM50,000.
Menerusi program itu, 11 sekolah kebangsaan di Sungai Buloh menerima bantuan RM55,000 manakala lima sekolah menengah kebangsaan ditaja Tuisyen Rakyat dengan manfaat RM50,000.
Serahan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri R Ramanan di Dewan MBPJ Seksyen 7 Kota Damansara.
[caption id="attachment_664493" align="aligncenter" width="1068"] Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri R Ramanan bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, Young Syefura Othman bergambar bersama selepas menyampaikan bantuan persekolahan ketika Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Parlimen Sungai Buloh di Dewan MBPJ Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 21 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Young Syefura Othman; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dam Ketua Bahagian Operasi YBR Mohd Mukhti Abd Rahman.
Sementara itu, R Ramanan ketika berucap turut berterima kasih kepada YBR dan berharap bantuan itu sedikit membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
"Terima kasih YBR berterusan membantu pelajar dan sekolah di Sungai Buloh, secara tidak langsung meringankan bebanan kewangan keluarga B40,” katanya.
Dalam pada itu Young Shefura berkata usaha ini merupakan inisiatif dan salah satu strategi YBR bagi membantu masyarakat meningkatkan mutu pendidikan.
"Bantuan Tuisyen Rakyat yang disalurkan ini dapat membantu sekolah mengadakan kelas tambahan secara percuma khususnya kepada pelajar tingkatan lima sebagai pecutan akhir sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.