SHAH ALAM, 22 SEPT: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan membentang semua penelitian berhubung kegiatan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) pada 30 September ini.
Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata ketika ini pihaknya sedang mengkaji dan menilai semua bahan bukti diterima daripada polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain keterangan individu terlibat.
“Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) mengikut rapat perkembangan semasa GISBH serta isu berkaitan selain proaktif mengekang penyebaran ajaran menyeleweng setelah melakukan penelitian berdasarkan fakta dan bukti.
“Jabatan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menggesa kami mengkaji dan meneliti bagi memutuskan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran Islam sebenar,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Berikutan itu Baginda menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
Semalam polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal, klinik, maaahad serta kediaman persendirian dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.
Serbuan bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu turut menahan 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita.
Ketika serbuan di Kelantan, polis menemui puluhan buku berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi itu yang ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman kumpulan itu di Kampung Panji, Kota Bahru selain ada yang dibakar dipercayai bagi menghapuskan bukti selain mengelak dirampas pihak berkuasa.
Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Dalam operasi itu 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
GISB yang sebelum ini menafikan kaitannya dengan al-Arqam turut menafikan dakwaan terhadap mereka dan menganggap tuduhan sedemikian bertujuan menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat.
[caption id="attachment_664356" align="aligncenter" width="1028"] Polis Kelantan menemui pelbagai buku dan dokumen berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang ditanam di tepi sungai dan sebahagiannya dibakar, ketika serbuan ke atas tiga rumah dipercayai kediaman keluarga pengurusan tertinggi GISBH di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]