KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pihak berkuasa agama negeri sudah diarah bertindak segera berhubung isu Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa juga perlu mengambil serius titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang mahu tindakan tegas diambil terhadap GISBH yang disyaki melakukan jenayah tanpa sebarang kompromi.
“Kita mengarahkan untuk pihak jabatan dan majlis agama mengambil tindakan. Pihak polis sudah ambil tindakan di Rawang dan sebagainya.
“Saya dapat makluman daripada awal, memang sukar dikesan kerana sebahagian aktiviti GISBH dibuat secara tertutup. Itu yang dimaklumkan, tapi tunggulah pihak jabatan agama, mereka mengambil maklum dan telah menghadap Tuanku (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dan mempersembahkan beberapa hal.
“Jadi gesaan tuanku itu patut diambil tindakan yang sebaik mungkin atau secepat mungkin oleh jabatan terlibat. Jawatankuasa Fatwa Negeri juga akan bersidang dalam waktu terdekat,” katanya ditemui selepas sesi khas dialog Pondok Siyasah bersama Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.
Berhubung premis bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah, Amirudin tindakan penutupan akan diambil jika terbukti melanggar undang-undang.
Hari ini, Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH. Baginda juga mahu semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga mengesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.