ad
AGENDA

EXCO: Jais kemuka laporan penuh siasatan isu GISBH minggu depan

21 Sep 2024, 11:20 AM
EXCO: Jais kemuka laporan penuh siasatan isu GISBH minggu depan
EXCO: Jais kemuka laporan penuh siasatan isu GISBH minggu depan
EXCO: Jais kemuka laporan penuh siasatan isu GISBH minggu depan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membentang laporan penuh berhubung isu pembongkaran kegiatan jenayah dilakukan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) minggu depan.

EXCO agama Islam berkata pembentangan merangkumi tindakan yang telah dan bakal diambil agensi itu selain langkah semasa bagi proses perundangan termasuk isu berkaitan sekolah agama dan tahfiz bawah kumpulan terbabit.

Dr Fahmi Ngah menjelaskan Jais juga akan memberi taklimat berhubung profil 30 rumah amal bawah GISBH sekitar Selangor selain dakwaan pelantikan ahli kumpulan itu sebagai jawatan kuasa sebuah masjid di Rawang dan isu surau al-Ikhwan milik mereka.

“Saya menjunjung titah keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengenai tindakan wajar diambil pihak berkuasa negeri dan persekutuan berhubung isu GISBH ini terutama kebajikan kanak-kanak, wanita dan agama Islam.

“Penyegeraan tindakan susulan hasil kerjasama orang awam, agensi agama negeri dan penguatkuasaan persekutuan amat kritikal pada saat ini.

“Pasukan khas diketuai pengarah Jais sedang berusaha mengukuhkan beberapa keperluan kes melibatkan pimpinan atasan GISBH serta individu lain mengikut Seksyen 7,8,10,12,13 dan 106 enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_664182" align="aligncenter" width="814"] Seramai 19 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan isteri dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman pada 19 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Fahmi berharap orang ramai memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada pihak berkuasa yang giat menjalankan siasatan demi menjamin kebajikan umat dan kesucian agama Islam.

“Dalam situasi ini, diharap umat Islam dapat membantu pihak berkuasa dan tidak menuding jari. Mana-mana yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Jais dengan segera,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap mana-mana individu selain tidak terpengaruh dengan penampilan pakaian, kepetahan bersyarah dan penyebaran doktrin atas nama agama.

“Jelas terbukti ada kalangan mereka yang memanfaatkannya untuk kepentingan peribadi dan kelompok tertentu. Laporan dipaparkan ketika ini melibatkan penipuan, penindasan, penganiayaan dan perilaku yang sangat menjijikkan dan memalukan,” katanya.

[caption id="attachment_664356" align="aligncenter" width="814"] Polis Kelantan menemui pelbagai buku dan dokumen berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang ditemui ditanam di tepi sungai dan sebahagiannya dibakar, semasa serbuan ke atas tiga rumah yang dipercayai menjadi kediaman keluarga pengurusan tertinggi GISB Holdings (GISBH) di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan rasa kesal terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.

Berikutan itu Baginda menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.

Baginda juga mengesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.